Tabung Haji Ikon Kebanggaan Negara Yang Tiada Bandingan Di Dunia

tabung haji ikon negara

Lembaga Tabung Haji (TH) ditubuhkan hasil dari cetusan idea seorang pakar ekonomi Melayu  terkenal iaitu YM Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid kepada Kerajaan Persekutuan.

Idea ini dicetuskan beliau bertujuan untuk memudahkan orang Melayu menunaikan kewajipan menunaikan rukun Islam yang kelima itu tanpa  menjejaskan status sosioekonomi mereka.

Ketiadaan perbankan Islam pada lima puluh tahun lalu, menyebabkan  umat Islam menggunakan hasil dari jualan harta atau ternakan mereka untuk memastikan  wang yang akan digunakan itu adalah halal. Amalan ini telah menyebabkan  jemaah haji yang kembali ke tanah air mengalami masalah keewangan.

Namun begitu, penubuhan TH pada tahun 1963, bakal-bakal jemaah haji  berpeluang menyimpan wang mereka tanpa rasa ragu-ragu kerana segala urusan perbankan di TH semunya berlandaskan kepada Syariah dan dijamin selamat.

Dengan adanya TH ini juga, impian untuk menunaikan ibadah haji boleh menjadi kenyataan apabila bakal jemaah digalakkan  menabung dari seawal usia tanpa perlu bergolok dan bergadai dengan menjual harta semata-mata hendak menunaikan rukun Islam tersebut.

Seiring dengan perkembangan semasa, TH telah melalui pelbagai kemajuan, evolusi dan transformasi dalam memberikan perkhidmatan haji dan tabungan terbaik dan lebih penting lagi, para pendeposit dapat menikmati pulangan yang kompetitif.

Kewujudan TH merupakan satu rahmat tidak ternilai untuk masyarakat Islam di Malaysia. Setiap umat Islam di negara ini berpeluang menunaikan fardhu haji dengan lebih muda dan bersistematik jika dibandingkan sebelum penubuhan Lembaga Tabung Haji ini.

Segala urusan untuk memudahkan para jemaah melakukan ibadah haji semunya dilakukan oleh TH sendiri termasuk pendaftaran haji, kursus-kursus haji, visa pemeriksaan perubatan dan bayak lagi.

Sejak tahun 2001, TH telah memberi subsidi  kepada bakal jemaah haji sebagai satu amanah  dan tanggungjawab untuk menjaga kebajikan mereka. Untuk info anda, pada tahun ini sahaja TH telah memberi subsidi sebanyak RM6,175 kepada setiap jemaah haji untuk membantu mengekalkan kos bayaran haji pada RM9,980 sejak tahun 2009.

Pada masa yang sama juga, TH berjaya mengukuhkan kedudukanya dalam pasaran tempatan dan luar negara dengan pelaburan dalam pelbagai sektor sejajar dengan prinsip-prinsip Islam seperti sektor perladangan, hartanah, kewangan Islam, IT, makanan halal serta banyak lagi.

TH meningkatkan daya saing melalui perkhidmatan inovatif dan skim simpanan yang menarik untuk menggalakkan  simpanan dan pelaburan di kalangan umat Islam negara ini.

Kini, TH mempunyai lebih daripada 8.4 juta pendeposit  dengan simpanan melebihi RM49 bilion berbanding pada awal penubuhanya dulu  iaitu 1,280 pendeposit  dengan simpanan sebanyak RM46,000. TH juga mempunyai 120 buah cawangan  dengan lebih daripada 6,000 touch-points di seluruh negara dan sebuah pejabat di Jeddah, Arab Saudi.

Hari ini, TH merupakan ikon negara dan menjadi model pengurusan dana Islam dan haji yang dikagumi dan dicontohi oleh negara-negera Islam seluruh dunia.
Tabung Haji Ikon Kebanggaan Negara Yang Tiada Bandingan Di Dunia Tabung Haji Ikon Kebanggaan Negara Yang Tiada Bandingan Di Dunia Reviewed by Jom Kongsi on 8:44 PG Rating: 5

Tiada ulasan:

Tak nak ada masalah dikemudian hari, sila komen yang murni-murni sahaja di sini. Terima kasih

Dikuasakan oleh Blogger.